Bekas juara WWE bunuh anak, isteri

Polis dedah Chris Benoit gantung diri selepas tragedi

FAYETTEVILLE: Penggusti profesional, Chris Benoit, isteri dan anak lelakinya ditemui mati dan polis mengesyaki kematian disebabkan pembunuhan dan bunuh diri.

Lt Tommy Pope dari Jabatan Sherif Fayette County berkata, ketiga-tiga anggota sekeluarga itu dijumpai di rumah mereka kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, tetapi enggan mendedahkan maklumat lebih lanjut.

Pope berkata, keputusan bedah siasat Chris Benoit, isterinya Nancy dan anak lelakinya berusia 7 tahun, Daniel dijangka diketahui tidak lama lagi.

Benoit, 40, adalah bekas juara dalam kategori ‘heavyweight’, ‘intercontinental’ selain memegang beberapa kejuaraan berkumpulan sepanjang kerjayanya. Beliau muncul dalam acara dianjurkan World Wrestling Entertainment (WWE).

“WWE mengucapkan takziah dan doa kepada keluarga Benoit, saudara mara dan mereka yang tersayang dalam menghadapi tragedi ini,” kata persekutuan itu dalam kenyataan menerusi laman web.

Benoit dijadualkan beraksi dalam acara tonton dan bayar “Vengeance” malam Ahad lalu di Houston, tetapi digantikan pada saat akhir oleh pengacara Jim Ross yang memberi ‘alasan peribadi.’

Benoit yang berasal dari Kanada, menetap di Atlanta sejak beliau mula bergusti dalam World Wrestling Federation (WWF) yang tidak wujud lagi.

WWE membatalkan siaran langsung ‘Monday Night RAW’ di Corpus Christi, Texas, dan USA Network menyiarkan rancangan penghormatan selama tiga jam kepada Benoit sebagai menggantikan siaran langsung perlawanan gusti itu.

Rumah juara gusti itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 55 meter dari jalan raya selain dikelilingi tembok dan pintu besi.

Pada malam Isnin lalu, rumah itu gelap kecuali beberapa lampu kecil di luar dipasang. Sebuah kereta polis dan dua anggota polis dilihat di situ.

Sumber: Berita Harian

0 comments: